| *Nama-nama
yang disebutkan di sini telah diubah untuk menjaga identiti masing-masing
|
Nama
:: Seri Bte Hashim
Lokasi :: Kuala Lumpur
Umur :: 16
Bintang :: Cancer
Hobi :: Membaca & Menulis
Cita-cita :: Peguam
Tokoh paling dihormati:: Dr. M
|
|
Oleh
Seri
Aku terima surat dari abang. Bila aku nampak suratnya dalam peti surat, aku cepat-cepat sembunyikan dari pengetahuan mama. Memang abang telah meminta aku supaya isi suratnya tidak diketahui mama.
Aku tak tahu kenapa abang tidak menggunakan e-mail atau chat sahaja dengan aku macam orang lain. Dia kata dia tak suka menggunakan e-mail. Kalau aku hantar e-mail, dia hanya jawab satu atau dua patah perkataan. Macam susah sangat nak dapatkan apa-apa jawapan darinya. Pelik aku rasa, kerana setahu aku dia sentiasa berhadapan dengan komputer, kerana abang seorang pelajar jurusan kejuruteraan komputer di Umist.
Aku pernah bertanyakan kepadanya kenapa dia tidak suka gunakan e-mail. Katanya, dia hanya gunakan e-mail dengan kawan-kawannya. Tetapi aku lain. Aku istimewa, katanya. Aku adiknya.
Jadi kalau aku adiknya, dia mahu apa yang ditulisnya istimewa. Baginya, menulis di atas kertas adalah sesuatu yang istimewa baginya. Dia kata dia suka duduk di atas mejanya pada waktu malam dan menulis kepada aku. Terutamanya pada malam-malam musim dingin. Kerana katanya, pada musim dingin, malam cepat melabuhkan tirainya dan dia selalu sahaja rasa kesunyian pada musim dingin.
Apa yang ditulisnya pada aku berjela-jela. Kadang-kala macam tak cukup kertas untuk dia tulis. Kalau aku kumpul apa yang ditulisnya sejak dia berada di UK lima tahun yang lepas, dah boleh buat novel yang tebal agaknya.
Aku koyakkan surat yang aku baru terima darinya. Ada lima keping kertas semuanya. Dia tulis dengan tulisan yang kecil. Kadang-kala sukar untuk aku fahami apa yang dia tulis kepadaku. Ada masanya dia akan tulis dalam bahasa Melayu. Ada masanya pula, dalam bahasa Inggeris.
Kali ini dia tulis dalam bahasa Melayu. Dia memberiku sebab mengapa dia tidak mahu pulang ke Malaysia setelah dia mendapatkan ijazahnya dalam bidang kejuruteraan komputer tidak lama lagi.
Aku menjadi resah. Aku mahu lihatnya pulang ke sini. Tetapi tetap berdegil. Dia tidak mahu pulang ke Malaysia. Katanya, tidak ada apa yang dia boleh cari di Malaysia. Dia bencikan segala-galanya yang ada di sini.
Katanya dalam surat barunya:
1. Dia kecewa dengan suasana politik di Malaysia
Abang bukan sahaja aktif dengan Tabligh, dia juga pernah memberitahu kepadaku bahawa dia sudah memasuki parti PAS. Dia seorang ahli yang agak aktif, katanya. Dia pernah bagi aku gambar dia berserban dan bercelak. Aku tak tunjuk kepada mama, lebih-lebih lagi kepada papa. Aku pasti mereka akan terkejut. Kalau silap haribulan, papa boleh dapat serangan sakit jantung. Apa tidaknya, papa penyokong kuat UMNO. Berkali-kali dia telah memberitahu kepada aku dan kepada mama dia maju dalam perniagaannya kerana hubungannya yang rapat dengan UMNO. Dialah yang telah menggalakkan mama terlibat aktif dalam pergerakkan Wanita UMNO. Pada juga mahu aku jadi ahli Puteri UMNO.
2. Dia mahu mendekatkan dirinya kepada beberapa kumpulan Islam di UK dan mungkin dia mahu ke Pakistan untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang agama ke sana.
Sukar untuk aku menerima kenyataan ini. Aku harapkan abang hanya main-main. Aku tak tahu apa yang dapat dicarinya di Pakistan nanti. Aku tak tahu kenapa sampai ke situ arahnya. Apa yang telah berlaku kepada abang? Siapa kawan-kawannya?
3. Abang tidak puas hati dengan papa. Dia kecewa.
Itulah sebab terakhir abang. Dia kecewa dengan papa. Katanya, papa tidak sepatutnya kahwin lagi dan hanya berjumpa dengan mama dua kali dalam seminggu. Dalam masa dua hari itu pun, papa jarang ada di rumah. Dia akan bermain golf dengan kawan-kawannya dan hanya akan berada di rumah pada malam hari. Itu pun kalau dia ada. Kalau dia out-station, dia tak akan pulang langsung untuk menemui kami di rumah. Aku rasa mama sudah masak dengan kerenah papa. Dia dah lama aku lihat tidak merungut apabila papa pulang lewat atau jika dia tidak pulang langsung. Mama sekarang sibuk dengan perniagaannya sendiri untuk melayan kerenah papa.
Hubungan aku dengan papa juga aku rasa macam tak wujud. Semakin hari semakin segan untuk aku menegur sapa dengannya. Jadi, kalau dia balik, aku hanya duduk diam. Aku tak tahu apa yang boleh kami bualkan. Papa juga tidak banyak bertanyakan khabar kepadaku. Kalau dia tanya sepatah, aku akan jawab sepatah. Dia selalu akan tanya hal-hal berkenaan dengan sekolah. Lepas itu dia akan akhiri kata-katanya dengan: “Belajar rajin-rajin ya, Seri!”
Aku tidak faham mengapa abang memarahi papa. Aku tak faham apa yang ada di dalam kepalanya sehingga dia seperti berdendam dengan papa. Mungkin kerana papa pernah menyayanginya dan memanjakannya satu ketika dahulu, kemudian, setelah papa berkahwin lagi, rasa sayang papa kepadanya berkurangan.
Setelah aku membaca surat abang yang panjang lebar itu. Aku masukkan isi surat itu kembali ke dalam sampul suratnya, lalu aku masukkannya ke dalam sebuah kotak khas yang telah aku sediakan khas untuk menyimpan surat-suratnya. Kotak ini aku sorokkan di bawah katilku. Tidak ada sesiapapun yang boleh menyentuhnya, termasuk juga Kak Erni. Sejak dari awal lagi aku telah memberitahu Kak Erni dia boleh menyentuh apa sahaja dalam bilik aku ini kecuali apa yang terdapat di bawah katil.
Jadi bawah katil aku memang berhabuk. Yang lainnya bersih, kerana aku rasa memang Kak Erni tidak berani melihat apa yang aku simpan di bawah katil ku.
Pada malam itu aku banyak berfikir tentang abang. Aku belek balik gambar-gambar kami bersama semasa kami kecil dahulu. Sukar untuk aku dapat membayangkan keadaan hidup aku berjauhan dengan abang lagi. Seboleh-bolehnya aku mahu dia sentiasa ada dengan aku di rumah ini. Dah lama rasanya aku tidak dapat bermanja dengannya.
Aku harap abang akan membatalkan niatnya mahu terus menetap di UK. Lebih-lebih lagi dengan kemahuannya ingin ke Pakistan. Aku menulis surat yang panjang memintanya memikirkan kembali cadangannya. Jika dia tidak mahu pulang ke Malaysia, aku tidak kisah. Asalkan dia tidak menghilangkan dirinya di Pakistan. Lagipun, mama bercadang mahu menghantarku belajar ke sana selepas peperiksaan SPM aku nanti. Jika abang masih berada di UK, mungkin kami boleh duduk di kota yang sama. Di kota Manchester…
Oleh
Seri
E-Ling: Thanks for the Jamu Langsing, Seri!
E-ling tinggalkan pesanan ini ke dalam blog aku. Mama berikan dia tiga botol Jamu Langsing. Pesan mama kepada E-ling, lepas makan jamu ini dia akan sentiasa mahu ke tandas. Proses bersihkan toksin katanya. E-ling kata dia tak kisah. Yang penting, dia mahu nampak cantik.
Tadi E-ling kata dia mahu masuk ke dalam bilik abang. Tak tahu kenapa dia nak masuk ke bilik abang. Mungkin kerana pintu bilik abang terbuka kerana aku terlupa nak tutup bila aku nak pulangkan balik buku Stephen King pagi tadi.
E-ling tengok buku-buku yang ada dalam koleksi abang yang banyak tu. Kemudian dia memandang ke arah poster-poster Azizi Azwar yang abang aku dapatkan dari majalah URTV dan Hai dan dia tampal di atas dindingnya.
“He’s cute kan?” Tanya E-ling sambil bergerak semakin dekat kepada poster Azizi. Kalau dekat lagi, mesti dahinya akan terhantuk ke dinding.
“Maybe. He’s not my type.” Aku menjawab dengan tegas.
“But he’s your brother’s type lah?”
“Subhanallah!” Kataku di dalam hati sebelum aku berkata: “Abang I bukan gay lah. Apalah you ni!”
“Yeah, whatever!”
“Dia normallah!”
“Yes, I believe you.” Kata E-ling dengan nada yang selalu digunakannya kalau dia tidak percaya. Benci betul kalau dia buat nada suara seperti ini. Dia sengaja nak main-mainkan aku.
“Kenapa pula you cakap abang I gay?”
“Dia ada girlfriend tak?”
“Sekarang?”
“Ye lah… Sekarang!”
“Tak ada… Dia ahli tabligh kat UK. Dia tak ada masa dengan girlfriend. Kalau boleh, dia mahu mama carikkan dia isteri bila dia dah bersedia nanti. Dia mahu mama carikkan dia isteri yang soleh.”
“Okay.” Kata E-ling sambil mencemikkan mukanya. Macam tak puas hati.
“Dia nak isteri yang macam mana? Macam I dia nak tak?” E-ling berjalan beberapa tapak sambil memperagakan dirinya macam model.
“Tak. You’re not his type.” Nak saja aku jawab dia tak akan mahu sebab E-ling tu kafir.
“Kenapa?”
“Dia suka gadis bertudung labuh.”
“Oh really?”
“Yes, really!”
E-ling kemudian memandang kepada sebuah poster filem di hadapannya. Azizi ada berlakon dalam filem itu. Dia jadi hero. Filem itu kalau tak salah aku telah ditayangkan pada tahun 1999.
“Haven’t you heard?”
“Dengar apa?”
“You tahu kan, abang I kerja dengan Astro. Just happen that, dia kenal dengan producer rancangan Teen Central tu. Jadi, to cut the story short, si Azizi tu I dengar gay orangnya.”
“Eh, mengarutlah you ni!” Aku terkejut mendengarkan kata-kata E-ling. Ini sudah dikira fitnah!
“Betul lah. I nak reka cerita buat apa? Abang I sendiri kata dia pernah nampak Azizi keluar dengan this really gorgeous young man. On two different occasions!”
“Tapi you tak baca ke majalah URTV keluaran bulan lepas. Kan dia digossipkan dengan si Natasha, pelakon dan model terkenal tu!” Aku akui aku ikuti semua ini. Aku sendiri meminati Azizi. Aku suka kepada caranya berlakon. Aku tidak pernah lepas dari mengikuti perkembangannya sejak dia jadi model Coke satu ketika dahulu sehinggalah sekarang apabila dia menjadi pengacara rancangan Teen Cental.
“You actually read all that crap?”
“Bacalah… Best apa! Banyak informasi yang kita boleh dapati di dalamnya.”
E-ling bercekak pinggang. Mulutnya mencebik. Dia tak mahu kalah agaknya.
“And don’t tell me you read Remaja, URS and…”
“Yes I read all that!” Jawabku pantas. Aku menjeling lantas menolaknya keluar dari bilik abang. Cepat-cepat aku menyuruhnya masuk ke dalam bilikku kembali.
E-ling mentertawakanku. Seolah-olah dia memperkecilkan diriku. Ini bukan pertama kali dia buat aku begini. Tapi biarlah apa nak buat. Aku sikitpun tak kecik hati. Sebab dia kawan baik aku.
Berbalik kepada Azizi, aku tak boleh percaya dia gay. Mengarut je lah cerita ni. Mana boleh percaya. Muka hansome macam dia tak kan lah tak minat dengan perempuan.
“…All the handsome men are gay…” E-ling menyanyikan lagu yang bertajuk Supreme oleh Robbie Williams. Matanya terus kepada poster kecil Azizi yang aku letak di belakang pintu bilikku. Dia menyanyi-nyanyi sambil menjeling ke arahku. Apa-apapun, itu hak dia. Tapi bagi aku, Azizi tu lelaki normal!
Oleh
Seri
E-ling termenung jauh ke arah papan hitam. Entah apa sahaja yang difikirkannya pada waktu itu. Mungkin tentang boyfriendnya si Ratnam dari Victoria Institution tu. Mereka baru sahaja bergaduh lagi. Buat keseribu kali tahun ini. Malas dah nak fikirkan pasal kisah diorang tu. Asyik gaduh, gaduh, gaduh. Lepas gaduh baik balik. Bosan aku jadinya.
“You rasa I gemuk tak?” Tanya E-ling kepadaku. Dia memegang pinggangnya yang langsing itu. Kalau aku tak kenal dia, agaknya aku fikirkan dia ni ada penyakit anoroxic nervosa. Dalam kepada aku mesti bayangkan dia ni jenis bulimic. Lepas makan dia akan muntahkan balik makanan dia. Aku tahu pasal ini semua sebab, aku pernah buat kat diri aku sendiri.
Masa tu umur aku 13 tahun. Mama kata aku gemuk. Dia kata gadis seperti aku tak sepatutnya nampak gemuk. Lagipun aku anak dia. Aku rasa dia malu kalau orang lain dapat tahu aku gemuk. Ye lah, dia jual jamu langsing. Jamu langsingnya adalah produknya yang paling laris. Tak kan lah, mama yang jual jamu langsing ada anak gadis yang gempal macam aku.
Jadi aku sekat makan. Banyak kali juga bila dah makan aku muntahkan balik. Setelah lima bulan aku buat kerja ini dan berdiet tak sudah, berat badan ku dapat juga aku turunkan. Memang nampak perubahan. Mama pun puas apabila dia nampak aku dah mula kurus. Aku gembira kalau mama gembira. Tapi aku terpaksa berhenti bila abang dapat tahu aku muntahkan balik makanan yang aku makan.
Abang dapat tentang keadaan aku bila dia bukak pintu tandas (baca: vomitorium) yang aku terlupa tutup lalu dia ternampak aku muntah. Dia ingat aku sakit. Dia nak beritahu mama tentang keadaan aku. Aku kata jangan. Aku beritahu kepadanya aku tak sakit. Dia hairan kenapa kalau aku tak sakit, aku muntah-muntah.
Dia paksa aku beritahu kepadanya kenapa aku muntah. Dia ingat aku mengandung. Masa tu dia tanya aku banyak kali kalau aku mengandung. Dah gila ke dia tu?
Lama-lama bila aku bosan dengar dia membebel, aku beritahu dia bahawa aku muntahkan makanan yang aku makan sebab aku tak mahu gemuk.
Aku nampak dia menarik nafas lega. Kemudian dia peluk aku. Dia kata apa yang aku lakukan akan memudaratkan kesihatan ku. Entah mengapa aku nampak air mata dia meleleh. Aku tak faham mengapa dia menangis. Jadi aku tanya dia mengapa.
Dia kata sebab dia sayang aku. Dia tak sanggup lihat aku seksa diri kerana hendak nampak cantik. Senang untuk dia cakap ini semua. Dia ikut mak. Tubuh mak langsing. Abang boleh makan seberapa banyak yang dia suka dan dia tidak akan gemuk-gemuk. Aku pula ikut papa. Kalau makan lebih sikit sahaja berat aku akan naik.
Abang suruh aku janji supaya jangan muntahkan balik makanan yang aku makan. Dia suruh aku banyak bersenam. Dia kata sebelum dia balik ke sekolahnya di UK, dia akan temankan aku bersenam. Pada cuti musim panas tahun itu hubungan aku dengan abang semakin erat…
“You tak gemuk lah E-ling!” Getusku kepadanya. Dah lama aku kenal dengan E-ling. Sejak tingkatan satu lagi. Aku memang pasti dia tidak gemuk.
“You perasan tak, Victoria Becham, Calista Flockhart, Portia de Rossi dan Lara Flynn Boyle semua kurus-kurus.” E-ling memegang pipinya sendiri seolah-oleh pipinya itu tembam.
“So?”
“So, isn’t it fashionable to be thin?”
“Entah…”
“You rasa I nampak akan seksi kalau I kurus lagi?”
“I bukan lesbo lah macam si Elina tu. You tanya lah kat dia. Dia kan lesbian!” Mataku menjeling ke arah Elina si pengkit tu. Elina pada waktu itu sedang duduk sambil menggigit-gigit hujung penselnya. Pasti dia sedang menulis surat cinta kepada Lina, junior yang telah dipilih untuk menjadi ketua pengawas sesi petang yang dia suka tu.
“Eh tak baik lah you cakap macam tu.”
“Yeah, like whatever.” Aku menjeling bosan.
“Petang ni you free tak?” Tanya E-ling. Dia memandang sekali ke arah jam dinding. Macam tak sabar-sabar lagi nak tunggu waktu balik.
“Kenapa?”
“Temankan I pergi Mid Valley, okay tak?”
“Shopping lagi?”
“Ye lah.”
“Shopping apa pula kali ini?”
“I nak pergi Watsons. I nak tengok dieting products kat sana.”
“Tak payah. I ada banyak kat rumah.”
“You are not talking about your mother’s jamu again, are you?”
“It works lah!”
“You ada cuba tak?”
Aku mengangguk sekali. Walaupun aku tidak pernah mahu mencubanya. E-ling kemudian memerhatikan susuk tubuhku seolah-olah dia tidak pernah memandangnya. Tapi betul cakap mama, kalau orang nak tahu samada jamunya berkesan, orang akan memerhatikan dirinya atau setidak-tidaknya aku sebagai bukti.
Keadaan diri aku sekarang bolehlah dikatakan okay. Tapi aku cepat tembam. Kalau aku tak sekat makan dan berjogging di waktu petang, berat badan aku cepat naik…
“Okaylah. Nanti I cuba.” E-ling akhirnya berkata. Dia kembali termenung.
|