Diari Seri
Powered by TagBoard Message Board
Name

URL or Email

Messages(smilies)

*Nama-nama yang disebutkan di sini telah diubah untuk menjaga identiti masing-masing
Nama :: Seri Bte Hashim
Lokasi :: Kuala Lumpur
Umur :: 16
Bintang :: Cancer
Hobi :: Membaca & Menulis
Cita-cita :: Peguam
Tokoh paling dihormati:: Dr. M


The Links
afyzah ayukz brattyella bollocks2u caezura calyssa cherrup cherrybombpress defunct destini dw erin ezjazz fairus firstnumber googlebox guatahu hazmee haz herda huda jannah jiggs joopy kaught kellynumb kitrina lastletter lindsay lipglossy liyana M mandom maya mohsin muff nadira nazira nazry noknee nobrainner nurynn ridj shai shirah sofyn stash thp6 treyqeela viotle witch xcore yumyum zack

 


Blog Seri: Hiasan dalaman Abydos

Mama sibuk pada hari ini kerana katanya penulis dari majalah Anjung Seri akan datang ke rumah kami untuk ambil gambar. Pada mulanya mak tak benarkan, kerana dia sebenarnya mahu penulis-penulis dari majalah Impiana yang menampilkan dekor rumah kami.

Kata mama, Anjung Seri tidak sekelas Impiana. Lagipun, mak cemburukan isteri kedua papa, kerana majalah Impiana telah menampilkan rumahnya itu pada awal tahun yang lepas.

“Rumah apa ni? Semuanya putih. Perabot pulak ada dua tiga saja!” Mak merungut kepadaku apabila dia melihat gambar penthouse Makcik Ramlah di dalam majalah Impiana. “Macam mana lah papa kau tu boleh duduk rumah macam ni!”
“Mak, itu konsep dekor minimalis.” Aku memberitahu mama sesuatu yang tidak mahu didengarnya.
“Minimalis?”
“Ye mak… Minimalis.”
“Kau tahu berapa dia mintak papa kau untuk tukar segala parabut dalam rumah dia tu?”

Dah berapa puluh kali agaknya mak beritahu aku tentang harga yang terpaksa dibayar oleh papa kepada syarikat perhiasan dalaman yang digunakan oleh Makcik Ramlah untuk menghias penthousenya itu. Kalau tak salah aku, harga sofa ‘B & B Italia’nya itu berharga lebih RM35,000. Selama berminggu-minggu mak membebel tentang perkara ini. Tetapi cuma hari ini mak akhirnya dapat melihat sendiri sofa tersebut dan beberapa perhiasan lain di rumah Makcik Ramlah.

Mama tak faham bagaimana perhiasan dalaman rumah Makcik Ramlah dikatakan menarik, sedangkan baginya ia kelihatan terlalu ringkas. Mama tidak faham mengapa hiasan rumah kami, yang dipenuhi dengan kerusi-kerusi ‘antik’, dengan perhiasan kaca yang tugasnya hanya untuk mengumpul habuk berkilo-kilo beratnya jika dikumpul, tidak cukup baik untuk ditampilkan di dalam majalah Impiana.

Penulis Salimah Mahmood dan jurufotonya, Razlan Tajudin datang ke rumah kami pada petang tadi. Mama sibuk melayan segala pertanyaan dari Kak Salimah. Abang Razlan pula sibuk mengambil gambar segala sudut di rumah kami.

Ketika itu, pembantu peribadi mak menelefon dari pejabat, ada hal penting. Seorang stokis dari Singapura hendak memesan beberapa produk mak yang sekarang ini telah diberhentikan pengeluarannya; diantaranya adalah jamu Sari Rapert perasa cherry yang perlu dimakan oleh si isteri untuk menjamin kebahagiaan si suami.

Mak meminta diri untuk menguruskan soal perniagaannya.Pada waktu itu, Kak Salimah dan Abang Razlan duduk sambil menikmati hidangan petang yang telah disediakan oleh Kak Erni.

“Alahai, tak kan lah setiap kali kau bagi aku assignment, rumah klon mak datin baru kaya macam ni jugak yang aku dapat! Semua rumah sepesen. Tak ada taste langsung!” Getus Abang Razlan kepada Kak Salimah. Tanpa mereka sedari, suara mereka boleh didengar olehku yang sedang bersembunyi untuk memerhatikan mereka dari anak tangga di tingkat dua. Beginilah keadaannya rumahku, segala perbualan mereka yang berada di ruanh tamu boleh di dengar sehingga ke tingkat dua. Terutamanya jika keadaan sekeliling sunyi seperti tadi.

Pada waktu itu aku menoleh ke belakang. Aku dapati mama ada di belakangku. Mama telah mendengar kata-kata abang Razlan tadi. Wajahnya pucat. Aku kurang pasti jika mama marah ataupun di sedang menahan malu.

Mama kemudian turun ke bawah untuk menemui kembali tamunya seolah-olah tidak ada apa-apa yang terjadi. Wajahnya seceria sebelumnya. Mungkin lebih ceria lagi, kerana aku lihat dia tidak henti-henti senyum.

Wajah mama berubah muram apabila Kak Salimah dan Abang Razlan keluar dari rumah kami. Mama mengeluh berkali-kali.

“Rumah kita ni buruk sangat ke, Seri?” Tanya mama kepadaku dengan nada yang sedih.
“Tak lah mak. Cantik apa!” Kataku, separuh berbohong.
“Dulu mak tinggal kat kampung, Seri. Rumah papan—“
“Tahu mak!” Cepat-cepat aku memintas kata-katanya itu. Aku benar-benar berharap dia tidak bercerita pula bagaimana dia terpaksa berjalan berbatu-batu jauhnya untuk ke sekolah pada setiap hari. Entah sudah berapa ribu kali agaknya aku telah mendengar ceritanya ini, yang aku mula rasakan hanya cerita rekaannya semata-mata. Kerana setahu aku, keadaan hidup keluarga sebelah mak tidaklah sedaif mana. Datuk aku mempunyai sebuah kedai runcit dan beberapa buah rumah yang disewanya kepada orang kampung di kawasan Perserai, Batu Pahat.
“Kenapa dia kata rumah kita ni rumah klon, Seri?”
“Seri tak tahu lah mak.”
“Tak kan lah kau tak tahu. Kau tu kan pandai macam bapak kau!” Mama tetap tidak mahu mengalah mahu aku berterus terang kepadanya.’
“Rumah kita cantik mak… Cuma Seri rasa, tak ada yang istimewa yang ada dengan rumah kita. Semua mak-mak datin rumahnya Seri tengok sama saja.”
“Tukang ambik gambar tu kata—“
“Nama dia Razman—“
“Hah, si Razman tu kata, mak kau ni tak ada taste. Mak kau ni klon mak datin baru kaya.”
“Apa-apa dia nak cakap tu hak dia, mak.”
“Tapi betul kan apa yang dia cakap?” Soalan mama ini sukar untuk aku jawab. Kalau boleh aku tidak mahu menjawabnya. Tapi kalau aku tak jawab, mama akan berleter sampai pagi.
“Betul kot.”
Mama mengeluh. Dia berjalan ke arah almari di mana dia ada menyimpan majalah-majalah lama. Dia mengeluarkan majalah Impiana yang muka hadapannya menunjukkan sudut ruang tamu rumah Makcik Ramlah.
“Mak rasa mak nak ubah hiasan dalaman rumah ni.”
“Ke situ pulak.” Getusku terkejut. Dah buang tebiat ke orang tua ni?
“Mak nak ubah rumah kita ni jadi… Apa yang tadi kau cakap tu Seri?”
“Minimalis?”
“Hah, yang itu.”
“Elok jugak, tapi bilik saya tak usah tukar ya mak?”
Mama tidak menjawab. Dia cuma mencemikkan mukanya yang hanya mempunyai satu makna yang cukup-cukup aku fahami: permintaanku itu tidak akan diendahkannya.

Pada petang itu juga mama menyuruh pembantu peribadinya mencari nombor telefon penghias dalaman yang telah digunakan oleh Makcik Ramlah untuk menghias penthousenya. Mama akhirnya mendapat nombor tersebut dan terus menelefon Abydos Design House yang beribu pejabat di Plaza Mont Kiara itu.




Semalam aku membaca sesuatu yang aneh yang tertulis di atas tag di dalam blogku. Penulisnya mengenalkan dirinya sebagai Mr K. Di tulisnya:

Mr K: Jadi apa yang menjadi masalah bagi kamu jika Azizi itu benar-benar gay?

Aku terkejut menerima soalan seperti ini.

Mr K ada meninggalkan e-mailnya. Aku tak tahu jika Mr K mahu aku membalas pertanyaannya ini atau dia mahu aku diam sahaja.

Siapa Mr K ini sebenarnya? Semalaman aku berfikir tentang Mr K. Aku tidak mengenali identitinya. Mungkin Mr K telah lama mengikuti blogku, tetapi hanya kini dia menyuarakan pendapatnya.

Adakah Mr K marah denganku? Kenapa dia perlu marah?

**

Pagi tadi aku bangun dari tidur. Aku pergi ke bilik air, dan seperti biasa aku mengukur berat badanku. Naik dua kilo. Aku panik. Aku pandang ke cermin. Aku kurang pasti jika wajah ku semakin tembam. Cermin memang sukar dipercayai. Ia merupakan satu alat yang mampu menipu kita. Cermin mampu membuat kita nampak cantik padahal sebaliknya. Melihat wajah kita ke dalam cermin adalah seperti kita mendengar suara kita sendiri. Kita hanya sedar betapa anehnya suara kita hanya selepas kita mendengar suara kita yang telah direkodkan.

Jadi untuk memastikan jika ada apa-apa perubahan yang mendadak yang telah berlaku ke atas diri ku, aku ambil kamera digital, lalu mengambil gambar diriku sendiri.

Aku lihat memang benar keadaan aku tembam sedikit dari apa yang aku perhatikan bulan lepas. Mungkin kerana aku makan terlalu banyak dan terlupa untuk bersenam. Lagipun sekarang musim hujan. Petang-petang selalu sahaja hujan. Jadi aku terpaksa terperap di dalam rumah.

Aku mula risau melihat perkembangan ini. Aku rasa aku perlu sekat makan lagi, walaupun abang berkali-kali menegahnya.

Tapi apa yang dia tahu? Dia boleh makan sebanyak mana yang dia suka tetapi tak pernah gemuk.


**

Petang tadi aku keluar dengan E-ling. Dia kata dia mahu berjumpa dengan ku. Katanya ada sesuatu yang penting yang mahu dikongsinya bersamaku. Jadi kami berjumpa di KLCC.

E-ling seperti biasa pergi membeli pakaian baru di Mango. Ada ‘sale’, jadi dia tak mahu lepaskan peluang dari membeli baru baru walaupun aku tengok, baju yang ada dalam almarinya berlambak-lambak.
“You rasa baju ni cantik tak?” E-ling membelek-belek sehelai baju yang aku rasa nampak jarang.
“Okay kot. Sesuai dengan you. Lagipun kulit you cerah.” Aku menjawab dengan ikhlas, kemudian E-ling tersenyum puas.

Aku memandang kulitku. Aku sedar aku tidak mempunyai kulit secerah abang. Mama telah menurunkan segala kecantikkannya kepada abang, dan bukan kepadaku. Aku pula ikut papa. Kulitku sedikit gelap, seperti papa. Papa yang berasal dari Pulau Pinang itu mempunyai darah Peranakan India di sebelah ibunya.

Mama telah memberiku sedozen kerim pencerah kepadaku ketika aku berusia 12 tahun. Kerim Pemutih Puteri Berseri adalah produk kecantikan keluaran mama yang paling laris. Dia telah memastikan bahawa aku memakai kerim pemutih itu pada setiap hari agar kulitku tidak gelap lagi. Katanya, tidak ada sesiapapun yang suka kepada anak gadis yang berkulit gelap seperti aku. Jadi kulitku perlu cerah, jika tidak, sampai bila-bilapun tak akan ada lelaki yang akan menganggap aku ini seorang gadis yang menawan.

Kadang-kala aku tidak faham mengapa aku perlu berkulit cerah, sedangkan aku telah dilahirkan gelap. Aku tidak tahu siapa yang telah menetapkan piawaian bahawa seorang gadis hanya akan dikira cantik kalau kulitnya putih dan gebu.

“You tak nak shopping sekali ke?” Tanya E-ling, sambil dia menggigit jarinya tatkala dia ternampak sepasang seluar yang telah diturunkan 70% dari harga biasanya.
“Alah, I dah banyak bajulah!” Aku memberi alasan, sedangkan aku sendiri tahu tidak ada sehelai bajupun di kedai MNG ini sesuai untuk aku. Saiz bajunya yang paling besar tetap akan nampak sendat jika aku memakainya. Dadaku besar, ikut saiz keluarga sebelah papa yang tubuh masing-masing memang besar-besar.

Kadang-kala aku dapat merasakan kedai-kedai pakaian seperti MNG mempunyai agenda tersembunyi untuk membuat gadis-gadis seperti aku yang mempunyai saiz tubuh yang besar rasa bersalah tentang diri kami. Baju-baju yang mereka jual semuanya kecil-kecil dan aku rasa hanya boleh dipakai oleh gadis-gadis bertubuh langsing seperti E-ling.

Aku menoleh ke arah cermin berdekatan. Kemudian, aku cepat-cepat menoleh ke arah lain. Aku segan melihat keadaan diriku jika dibandingkan dengan E-ling. Pakaian yang dipakai E-ling memang ranggi. Cukup sesuai dengan keadaan dirinya yang tinggi lampai itu. Aku pula hanya bertudung (ikut style Wardina) dan memakai T-shirt bersaiz L berwarna hitam (dengan gambar seorang bayi bertindik, ehsan pemberian abang).

Selepas E-ling selesai membeli pakaiannya, kami keluar dari MNG di Isetan, kemudian kami terus ke arah Burger King. Kami mencari tempat duduk tanpa membeli apa-apa makanan di sana. E-ling masih berdiet, aku juga ikut berdiet walaupun perutku sudah mula berkeroncong.
“I dah break dengan Ratnam.” Beritahu E-ling sambil memegang hujung rambutnya. “It’s now over and done with!”
“Yeah, whatever. Dua minggu lepas you cakap benda sama juga!” Kataku sambil menguis keningku. Aku menoleh melihat gelagat beberapa orang pemuda di bahagian paling hujung Burger King. Mereka sedang ketawa berdekah-dekah sebelum mereka berdiri, lalu meninggalkan tempat duduk mereka. Mereka semua aku pasti seusia dengankku dan seperti aku dan E-ling, akan mengambil peperiksaan SPM mereka pada tahun ini.
“I dah tak tahan dengan perangai dia. Dia asyik nak kawal hidup I.”
“Dia tu kan lelaki.”
“So?”
“Itu kan kerja lelaki.”
“Maksud you, kawal hidup kita?”
“Ya.”
“That’s is the stupidest thing I’ve ever heard coming out of your mouth.”
“I know.” Aku tersenyum. Sengaja mahu mengusiknya. Dia juga tahu aku sedang berseloroh dengannya.
“I rasa I nak tumpukan perhatian I kenapa pelajaranlah—“
“It’s about time, kan?”
“Ye lah, I tahu.”
“Dah tu, kenapa you gatal nak ada boyfriend dulu?”
“Alah, bukan I yang buat rancangan nak ada boyfriend. He used to be my church friend… Tapi, lepas itu, dia mahu berkenalan rapat, kemudian dia yang nak lebih.”

Aku tak tahu apa yang E-ling maksudkan dengan, ‘dia yang nak lebih’. Mungkin aku tak mahu tahu, walaupun aku boleh mengagak apa yang telahpun berlaku di antara E-ling dengan Ratnam.

“Alah lupakan sajalah dengan dia… Lagipun dia kan terlalu tua untuk you. Berapa umur dia?”
“22 tahun…” Jawab E-ling sambil mengeluh. Ratnam adalah seorang pelajar kejuruteraan sivil di UM. E-ling pula hanya tertarik kepada lelaki-lelaki yang lebih tua darinya. Padanya, budak-budak lelaki yang seumur dengan kami semuanya ‘budak-budak yang masih mentah yang tidak tahu apa-apa tentang kehidupan’.

E-ling termenung jauh. Entah apa sahaja yang sedang difikirkannya pada waktu itu.

“Jadi, you nak jumpa I kat KLCC hanya untuk beritahu I pasal benda ni lah?” Aku bertanya, terus E-ling tersentak dari lamunannya.
“Tak, sebenarnya I nak suruh you temankan I shopping.” Jawab E-ling sambil tersenyum nakal.
“I dah agak dah.” Kataku sambil mencebikan bibirku.
“Oh ya… You nak tahu satu benda tak?”
“Apa dia?”
“Semalam I baca blog you… Lepas tu I baca komen Mr K—“
“Jadi kenapa?”
“I tulis e-mail kat dia.” Jawab E-ling penuh bersahaja. Aku memang tidak faham bagaimana E-ling boleh bercerai kasih dengan Ratnam dan menulis e-mail kepada seorang yang tidak dikenalinya seperti Mr K dalam masa yang sama.
“Untuk apa?”
“Berkenalan lah.”
“With a total stranger?”
“Ye lah, itulah tujuan kita berkenalan… Untuk berkenalan dengan orang yang kita tidak kenali!”
“Macam mana kalau dia tu sebenarnya… Psycho?”
“Oh, jadi sekarang you rasa blog you ni jadi bahan bacaan psycho lah ni?”
“Tak lah sampai begitu sekali. Maksud I, he can be anything!”
“That’s the point dear. It adds up to the excitement!”
“You ni macam-macam lah E-ling!”
“You marah ke?”
“Tak lah. I tak boleh sekat you menulis kepada pembaca I kan?”
E-ling memuncungkan bibirnya. Kononnya hendak nampak comel macam heroin filem Taiwan. Dia memang nakal, tapi dialah satu-satunya kawan aku yang paling rapat. Yang paling memahami diriku ini.
“Anyways… Mr K replied my e-mail this morning. Dia kata dia tak kisah kalau I nak berkenalan dengannya.”
“Oh ye ke?”
“Dia ada beri ID Yahoo Messengernya kepada I. Dia kata dia free pada lewat malam sahaja. Sebab waktu siang dia terpaksa bekerja.”
“Dia dah kerja?” Aku mula membayangkan Mr K ini adalah seorang pakcik yang seusia dengan papa.
“Dia works somewhere in One Utama.”
“Kerja apa?”
“Entah, I tak tanya.”
“Apa yang you tanya?
“Umur dia.”
“He’s 20.”
“Dia bukan student ke?” Tanyaku meminta kepastian. Kerana aku tidak mengenali sesiapapun yang berusia di lingkungan umur Mr K yang telah bekerja. Mungkin dia bekerja sambil belajar.
“Tak, dia memang dah kerja. I think!”
“You ada mintak gambar dia tak?” Tanyaku dengan suara penuh mengharap.
“Ada, tapi dia kata tak ada.”
Kemudian E-ling berhenti buat beberapa ketika sebelum dia berkata dengan perasaan teruja:
“I think he’s cute!”
“Eh, kata you tak ada gambar. Macam mana you tahu dia cute?”
“I have this feeling that he’s cute lah! Trust me on this.”
“Mungkin pada you dia cute. Tapi pada I dia tak cute.” Kataku bersungguh-sungguh, kerana aku tak pernah menganggap Ratnam itu kacak orangnya. Walaupun E-ling tidak pernah penat untuk memberitahu kepadaku bahawa bekas kekasihnya buat kali keseribu itu adalah lelaki yang paling ‘cute’ selepas Brat Pitt.
“Alah, you jeles kan?”
“Nak jeles apa pulak?” Jawabku dengan bertanya kembali. Keningnya terkerut seribu. E-ling pula mencubit pipiku seperti biasa, seolah-olah aku ini teddy bear kesayangannya. Aku tepis, kemudian dia ketawa panjang.

Beberapa orang pengunjung Burger King memerhatikan gelagat kami berdua. Aku mengeluh sendiri.


Home