Oleh
Seri
Diari Seri: Hiasan dalaman dan personaliti
Esok E-ling akan bertemu dengan Mr K di kawasan Bukit Bintang. Dia meminta aku memilih pakaian yang hendak dipakainya nanti ke sana. E-ling nampaknya tidak sabar untuk bertemu dengan Mr K.
Mood E-ling berubah dengan mendadak tengahari tadi. Dia baru dapat tahu filem Dare Devil telah diharamkan dari ditayangkan di Malaysia. Mukanya monyok. E-ling adalah peminat nombor satu Ben Affleck. Ketika dia mendapat tahu J-Lo menjadi girlfriend baru Ben Affleck pada tahun lepas, semua poster-poster serta CD J-Lo dia buang.
Sekarang tak ada orang yang boleh sebut nama J-Lo di hadapan E-ling, kerana E-ling memang betul-betul bencikan J-Lo.
Aku beritahu E-ling, kalau susah Daredevil tak boleh tonton di panggung wayang, aku boleh temankan dia ke Petaling Street. Aku boleh tolong dia cari salinan DVD filem yang ditunggu-tunggunya itu. Aku janji lepas kita jumpa Mr K esok, kita berdua akan ke Petaling Street.
E-ling tersenyum puas dalam kegusarannya.
Mr Andrew, pereka hiasan dalaman dari Abydos datang ke rumah kami semalam bersama pembantunya, Miss Pinky Rao. Mr Andrew tidak banyak bercakap, terutamanya kepada mama. Tapi dia tahu apa yang mama mahu apabila mama tunjukkan kepadanya majalah Impiana di mana terdapatnya gambar rumah Makcik Ramlah.
Mr Andrew tersenyum. Kemudian dia berjalan-jalan di dalam rumah kami. Miss Pinky telah ditugaskan untuk mengambil gambar rumah kami dengan kamera digitalnya.
Dia kemudian menoleh kepadaku. Katanya, rumah ini masih boleh ‘dibantu’ lagi. Dia tersengeh-sengeh.
Dia memberitahu mama bahawa dia akan siapkan pelan rekaannya secepat mungkin, lantas akan ditunjukkannya kepada mama. Mama berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh Mr Andrew, lebih-lebih lagi setelah mama memberitahunya bahawa ‘Money is no object’.
Mama menemani Miss Pinky yang sedang sibuk mengambik gambar bilik tidurnya. Aku pula sedang menemani Mr Andrew yang sedang termenung di ruang tamu.
“Selalunya, hiasan dalaman sesebuah rumah akan menjadi cermin kepada personaliti penghuninya.” Ucap Mr Andrew. Dengan lembut dia mengaturkan kata-katanya. Dia melenggang berjalan ke arah sofa, lalu duduk di sana dengan penuh tertib.
Aku hanya mengangguk. Mungkin benar kata-katanya itu.
“Jadi saya sebenarnya tidak faham kenapa ibu kamu mahu mengubah hiasan dalaman rumahnya ini.” Tanya Mr Andrew kemudian. Dia menghirup air the yang terhidang untuknya. Jari manisnya terlentik keluar apabila dia sedang minum. “Apa yang dia minta macam tak sesuai dengan personalitinya.”
“Makcik Ramlah itu… madunya.” Aku berterus terang kepadanya. Mengharapkan dia akan terus faham.
Mr Andrew tersenyum lalu menjelingku. Aku kurang pasti apa yang dia fikirkan tentang diri mama dari hiasan dalaman mama.
“Jadi kalau mahu ikut personaliti mama, rumah ini harus dihias bagaimana?” Aku memberanikan diriku untuk bertanya.
“Dibiarkan sahaja begini.” Jawab Mr Adrew dengan selamba.
Selepas Mr Andrew pulang, aku lihat mama menarik nafasnya panjang-panjang. Pesannya kepada mama, semua perabot-perabot kami terpaksa dikeluarkan dari rumah kami ini sebelum dia memulakan kerja-kerja ‘renovationnya’ nanti.
“Lepas tu, nak buang begitu saja ke mak?” Aku tanya kepada mama. Aku tahu dia sayangkan kepada perabot-perabot yang telah dikumpulkannya selama ini. Ada di antaranya telah disimpannya sejak zaman dia baru berkahwin dengan papa.
“Mama rasa, kita hantar sahaja ke Batu Pahat.” Jawab mama, aku tidak pasti jika dia berseloroh ataupun dia serius.
“Tapi, ma… Boleh muat ke rumah datuk nanti?”
“Jadi, tak kan lah nak buang sahaja?”
“Kau nak mama derma ke?”
“Bagus juga tu, mama.”
Mama kemudian termenung jauh. Dia mengatakan sesuatu kepadaku, tetapi aku buat-buat pekak tidak mahu mendengar. Aku hidupkan TV lantas terus merenung ke dalam kaca TV.