Diari Seri
Powered by TagBoard Message Board
Name

URL or Email

Messages(smilies)

*Nama-nama yang disebutkan di sini telah diubah untuk menjaga identiti masing-masing
Nama :: Seri Bte Hashim
Lokasi :: Kuala Lumpur
Umur :: 16
Bintang :: Cancer
Hobi :: Membaca & Menulis
Cita-cita :: Peguam
Tokoh paling dihormati:: Dr. M


The Links
afyzah ayukz brattyella bollocks2u caezura calyssa cherrup cherrybombpress defunct destini dw erin ezjazz fairus firstnumber googlebox guatahu hazmee haz herda huda jannah jiggs joopy kaught kellynumb kitrina lastletter lindsay lipglossy liyana M mandom maya mohsin muff nadira nazira nazry noknee nobrainner nurynn ridj shai shirah sofyn stash thp6 treyqeela viotle witch xcore yumyum zack

 


Blog Seri: Jumpa Mr K

Aku dan E-ling akhirnya dapat bertemu dengan Mr K. Kami menemuinya di kawasan berdekatan dengan BB Plaza. Pada waktu itu cuaca panas terik. Nasib baik kami cepat-cepat masuk ke McD, kalau tak terbakar agaknya kulit aku ni.

Mr K yang kami temui agak kacak orangnya. Mula-mula memang aku agak terkejut apabila menemuinya, kerana aku bayangkan akan berjumpa dengan abang-abang yang comot. Tetapi Mr K adalah sebaliknya. Mungkin sebab itulah E-ling suka kepadanya.

E-ling beritahu aku, Mr K memang kacak orangnya. Bagi aku, memang aku setuju dengan pendapat E-ling. Mr K mempunyai wajah yang menarik. Ditambah lagi dengan tubuhnya yang tinggi lampai. Mungkin wajahnya tidak sekacak wajah model di dalam majalah, tapi dia mempunyai wajah yang boleh kita bawa berjumpa dengan ibu bapa kita.

Mr K peramah orangnya, walaupun pada mulanya dia tidak banyak bercakap. Pada mulanya E-ling yang banyak melayannya, kemudian dia berbual dengan aku pula, itu pun setelah aku banyak bertanyakan tentang dirinya.

“Awak orang mana? Kampung di mana?” Tanyaku kepada Mr K dalam McD.
“Orang KL jugak. Kampung saya di… Kampung Baru.” Jawab Mr K tersenyum, seolah-olah dia tahu aku tidak akan mempercayai kata-katanya itu.
“Kalau hari raya, balik mana?”
“Balik ke… Perak rumah ibu saya.”
“Hah, ada pun kampung. Ingatkan tak ada.”
“Ada… Tapi—“
“Kampung sebelah ayah awak pula?”
“Ayah saya dah tak ada lagi.” Jawabnya pantas. Aku dapati dia sedikit terganggu dari soalanku tadi.
“Maaf jika soalan saya terlalu peribadi.”
“Tak apa… Nak tanya apa-apa pun boleh. Saya tak kisah sangat.”
“Muka awak macam Melayu… Tapi, awak ni macam mix lah. Awak ada darah campuran, kan?”
“Ada.” Katanya teragak-agak.
“Awak ada darah arab?”
“Ya… saya orang Cina. Saya bukan orang Melayu, sebenarnya. Nampak jer macam Melayu.” Mr K berterus terang. Jika dia tidak beritahu kepadaku tentang hal ini, pasti aku akan menganggapnya Melayu. Mungkin kerana kulitnya yang jelas nampak cerah, keningnya yang tebal, wajahnya yang penuh dengan ‘stubles’ hidungnya yang mancung menampakkan dirinya seorang anak berdarah campuran.
“Alah, kita kan semua orang Malaysia.” Tiba-tiba E-ling menyampuk. Dia mendekatkan kerusinya agar dia dapat duduk semakin rapat ke sebelah Mr K.

Kemudian aku lihat, Mr K termenung jauh. Beberapa kali aku lihat dia begitu. Orangnya suka termenung jika tidak dilayan. Dia seperti berada di dunianya sendiri. Kalau boleh, aku mahu selami dunianya ini. Entah mengapa, aku rasa Mr K seolah mempunyai satu dunia yang berbeza dari kita semua.

“Selalu masa hujung-hujung minggu macam ni, awak buat apa?” Tanya ku kepada Mr K.
“Saya kena kerja. Tapi hari ini saya cuti.” Jawab Mr K, terus dia berpaling kepadaku setelah lama dia merenung ke Jalan Bukit Bintang.
“Kenapa pulak you cuti?” Tanya E-ling.
“Sebab nak jumpa korang lah.”
“Wah, sampai sanggup ambil cuti?” Tanyaku.
“Siapa yang tidak mahu berjumpa dengan tuan punya blog Diari Seri? E-ling siang-siang kata dia akan bawa awak sekali berjumpa dengan saya.” Katanya dalam nada bersahaja. Aku kurang pasti jika dia mahu memerliku.
“Awak biasa baca blog saya ke?”
“Selalu, hampir setiap hari.”
“Sejak bila?”
“Entahlah… Sejak tahun lepas, kot.”
“Kenapa pulak awak suka baca blog saya?”
“Entahlah… Menarik kot. Ye lah, meneliti kehidupan orang lain. Awak ada kehidupan yang menarik.”
“Kehidupan awak menarik ke?”
“Tak tahu pulak.”
“Awak kerja apa sebenarnya?”
“Jaga kedai komik.”
“Awak minat baca komik ke?”
“Ada banyak benda saya minat, sebenarnya.”
“Jadi kalau awak tak kerja, awak buat apa?”
“Saya… buat macam-macam kerja. Kalau tak membaca, saya tolong ada sorang makcik ni kemaskan rumah dia dan haiwan peliharaan dia.”
“Awak suka binatang ke?”
“Suka jugak.”
“Saya pun suka!”
“Kalau awak nak, kalau kita ada masa, boleh saya bawak awak pergi ke rumah Mak Mah. Rumah dia memang macam zoo.” Kata Mr K sambil mengerling ke arah E-ling yang susah nampak bosan. Burger yang dipesannya tidak dihabiskannya.

Lama juga kami berborak dengan Mr K pada hari itu. Tapi banyak juga tentang dirinya yang aku tidak tahu.

Mr K menghantar kami pulang ke Bukit Damansara dengan menaiki bas. Dia berjalan sehingga ke depan rumahku. E-ling kata Mr K memang gentleman.

Aku menjemput Mr K masuk ke dalam rumah, tapi Mr K nampak keberatan. Dia kata dia mahu terus balik, lagipun hari sudah petang.

“Kiutnya dia! Isn’t he gorgeous?” Tanya E-ling kepadaku sebaik sahaja kami masuk ke dalam rumah.
“Ya.” Jawabku pendek. Aku lebih risau melihat keadaan dalam rumah. Banyak dari perabot kami telah dikeluarkan. Rumah nampak kosong. Bahagian ruang tamu nampak berselerak.
“Apa dah jadi dengan rumah you?”
“Rumah ini kena renovate—“
“Bila?”
“Mula minggu depan.”
“Wah!”
“’Wah’ apa pulak?”
“Ye lah, cantik lah rumah you nanti.”
“Tapi menyusahkan aja!”
“Alah biasa lah tu. Dulu bila rumah I renovate pun sama. Nak tidur pun susah. Kena tinggal aunty I seminggu.”
“Isk! Menyusahkan saja!”
“Mula-mula memang menyusahkan… Eh, abang Kahar hensem, kan?” Sekarang E-ling dah pandai panggil Mr K ‘abang Kahar’ pulak dah!
“Ye lah.. Hensem. I know. Tak payah ulang banyak-banyak kali!”
“You simpan ke nombor telefon dia yang dia bagi tadi?”
“Eh kenapa? I tak boleh simpan ke? You jeles?” tanyaku sambil tersenyum nakal. Aku tahu E-ling cemburu apabila Mr K memberiku nombor telefonnya tadi.
“Takdelah. Tapi you nak call dia ke, nanti?”
“It’s for me to know and for you to find out.” Kataku, sambil bergerak naik tangga untuk ke bilikku. Aku senyum kepada E-ling. Wajahnya masam.

Aku masuk ke dalam bilikku. Mama kemudian mengetuk pintu. Aku cepat-cepat membuka pintu. Mama memberitahu kepada E-ling bahawa ibunya telah menelefonnya tengahari tadi untuk memberitahunya bahawa E-ling akan tidur di rumah kami malam ini. Kemudian mama memberitahuku supaya mengemaskan bilikku agak senang barang-barangku nanti dipunggah keluar. Aku mahu protes, tapi mama terus keluar dari bilikku lalu menuju ke bawah. Dia mahu siram pokok bunga katanya.

E-ling kata dia akan menolongku untuk mengemaskan bilikku nanti. Dia tahu aku sedih. Dia tahu kalau boleh aku tak mahu berenggang dengan segala apa yang aku ada dalam bilik ku ini. Dia mendakap tubuhku lalu memberitahuku bahawa dia akan sentiasa membantu ku jika aku memerlukannya.

Entah mengapa, mataku berair, lalu aku menangis. E-ling terus mendakap tubuhku untuk menenangkan perasaanku…


Home