Oleh
Seri
Blog Seri: Konsert Dewa
Hubungan aku dengan Mr K semakin rapat. Aku sendiri tak tahu mengapa aku sering sahaja mahu menelefonnya. Banyak yang aku bualkan dengannya, dari perkara yang remeh, sehinggalah tentang pengubahsuaian rumah yang sedang dilakukan sekarang.
Aku beritahu kepadanya, rumah aku sedang berada dalam keadaan kucar-kacir. Bahagian depan rumah sudah dipecahkan. Lantai marmar juga kini dalam proses dipecahkan dan dikeluarkan satu persatu. Mungkin esok lusa, yang tinggal hanya lantai simen sahaja. Lantai marmar akan ditukar ke lantai papan berwarna cerah.
Mr K tanya jika aku selesa dengan keadaan sekarang. Aku kata tidak. Aku benci. Aku rasa terperangkap. Rumah aku dah tak rasa macam rumah lagi kerana bahagian dalam kosong dan banyak bahagian yang sedang dipecahkan dan dibina semula.
Malam semalam aku menulis surat kepada abang. Aku memberitahu kepada abang tentang Mr K. Aku beritahu kepada abang bahawa usia Mr K setahun lebih muda darinya. Memang pernah terlintas dalam kepala aku untuk menganggap Mr K sebagai abang angkat…
“Saya jadi adik angkat awak boleh?” Tanyaku kepada Mr K ketika menelefonnya kelmarin.
“Nak angkat apa pulak ni?” Seperti biasa, Mr K akan bersuara seperti sedang berkeadaan marah. Aku tak tahu kenapa bila dia bercakap dalam telefon, mesti suaranya macam nak makan orang. Tapi aku tahu dia memang begini bila bercakap. Tapi hatinya baik.
“Jadi adik angkat lah.”
“Jadi apa kelebihannya?”
“Tak ada apa-apa kelebihan.”
“Apa bezanya dengan kawan biasa?”
“Entah, tak ada kot. Cuma hubungan kita rapat macam adik beradik.”
“Kawan pun boleh rapat, apa!”
“Kalau jadi adik angkat… Awak boleh sayang saya macam seorang abang sayangkan adik.”
“Eh, ke situ pulak!” Getus Mr K. Aku ketawa sendiri. Aku rasa dia tahu aku suka menyakatnya. “Tapi kalau nak jadi apa-apa ikut suka awak lah. Bukannya saya boleh buat apa.”
“Tak apalah kalau awak tak sudi.” Kataku perlahan. Kemudian Mr K senyap seketika.
“Kita jadi kawan pun dah cukup.”
“Awak marah ke, saya minta awak jadi abang angkat…”
“Tak lah, cuma rasa… kelakar kalau ada orang panggil saya abang.”
“Awak tak ada adik ke?”
“Tak, hanya ada saya sahaja… Tak ada adik atau abang.”
“Awak tak ada kawan dengan budak-budak kecik ke? Sepupu ke?”
“Tak. Kawan-kawan saya kebanyakkannya dah tua… Orang-orang dewasa.”
“Kenapa pula suka kawan dengan orang-orang tua?”
“Entahlah… Orang tua tak banyak soal.”
Mr K tak mahu jadi abang angkat aku. Jadi persahabatan kami sekadar kawan sahaja. Aku memberitahu hal ini kepada E-ling. Dia hanya menjeling. Dia tidak cemburu. Aku rasa dia tidak boleh berjumpa dengan Mr K lagi selepas ini. Kerana dia sudah berbaik semula dengan Ratnam. Itupun setelah seorang rakan Ratnam memberitahu kepadanya bahawa dia ternampak E-ling bermesra dengan Mr K di kawasan Bukit Bintang tempohari. Terus Ratnam mahu kembali bersama dengan E-ling dan meminta E-ling supaya jangan lagi pergi berjumpa dengan lelaki lain.
Peliklah si Ratnam ni!
Aku memberitahu abang tentang pekerjaan Mr K di sebuah kedai komik. Aku juga beritahu bahawa selama ini Mr K tidak ke sekolah biasa, tetapi menuntut di sebuah madrasah di Sri Petaling untuk menjadi seorang Al Hafiz.
Aku juga beritahu bahawa Mr K ada tiket untuk ke konsert Dewa, band kegemarannya. Dia jemput aku ikutnya sekali. Tapi aku tak beritahu kepada mama. Aku takut dia tak akan benarkan. Jadi aku telah meminta E-ling bekerjasama denganku. Aku akan memberitahu kepada mama bahawa aku akan keluar bersamanya untuk belajar sama-sama. Mr K dan aku mungkin terpaksa pulang lewat…
Aku tidak minat dnegan kumpulan Dewa. Sebelum ini aku tak pernah tahu pun tentang kewujudan kumpulan ini sehinggalan Mr K memberitahuku. Petang tadi aku ke kedai dan membeli CD terbaru kumpulan ini. Aku tidak mendengarnya lagi.
Aku tidak tahu kenapa aku bersetuju mahu menemani Mr K ke konsert Dewa itu nanti. Tak kisahlah, asalkan aku dapat menemui Mr K lagi. Aku suka berada di sampingnya walaupun kadang-kala aku rasa dia tidak mahu banyak bercakap denganku.
Aku harap abang tak akan kisah aku berkawan dengan Mr K, walaupun Mr K lebih tua dariku.