Oleh
Seri
Blog Seri: Baladewa dan Mr K
Pada mulanya aku fikirkan mama tidak akan benarkan aku tidur di rumah E-ling, kerana dari raut wajahnya, dia nampak seperti tidak membenarkan. Tetapi aku mengeluarkan ayat-ayat sakti bahawa aku mahu menelaah pelajaran bersama E-ling, terus mama membenarkan tanpa banyak soal.
Pada petang itu, aku berikan mama nombor telefon E-ling. Aku memberitahu mama supaya menelefonnya jika dia tidak dapat menghubungi ku melalui telefon bimbit ku. Aku tahu mama tidak akan menelefon, sebab itulah aku berani memberikan nombor E-ling kepada mama!
Aku telah meminta Mr K supaya menungguku di hadapan Dunkin Donuts yang terletak di Pusat Bandar Damansara. Aku memilih tempat ini kerana letaknya tidak berapa jauh dari rumahku. Jadi aku hanya perlu berjalan sahaja ke sini.
Aku telah tiba ke Dunkin Donuts lebih kurang sepuluh minit lebih awal dari masa yang ditetapkan. Aku tidak perlu tunggu lama kerana Mr K sendiri datang awal.
Aku dapat lihat Mr K berwajah ceria pada petang itu. Mungkin dia tidak sabar-sabar untuk pergi ke konsert Dewa. Mr K kemudian terus memandu ke arah Shah Alam. Di sana kami telah singgah untuk makan di Giant. Kami makan malam di sana. Mr K yang belanja, walaupun aku mahu membayar sendiri. Mr K kata aku masih belajar lagi, jadi dia yang sepatutnya keluar belanja…
Selepas makan, kami terus ke stadium. Di sana Mr K mengajakku supaya duduk di atas anak tangga menghadap ke arah tempat letak kereta.
Kami banyak berbual pada malam itu, sebelum kami masuk ke stadium. Mr K kata aku manja, walaupun aku sendiri tidak tahu apa yang telah aku lakukan untuk membuatnya berkata begitu.
Apabila pintu stadium dibuka, Mr K terus membawa aku masuk ke dalam stadium. Dia memegang tanganku lalu membawaku ke barisan paling hadapan. Aku mengikut sahaja tanpa banyak soal.
Konsert dimulakan agak lambat. Jadi kami banyak menghabiskan masa kami dengan berbual kosong. Mr K, walaupun banyak berbual, seperti masih ragu-ragu untuk memberitahu kepadaku dengan lebih mendalam tentang dirinya.
Mr K bersungguh-sungguh mahu membawaku pulang pada malam itu walaupun konsert tak habis lagi. Dia kata dia tidak kisah. Aku rasa serba salah.
“Kalau balik awal nanti, sempatlah agaknya tengok Survivor.” Kata ku kepada Mr K sebaik sahaja dia membawaku keluar dari stadium. Dia tidak menjawab.
Dia membawaku pulang ke rumah. Macam Cinderella, kerana seboleh-bolehnya dia tidak mahu aku pulang melepasi jam 12. Dia kata tak elok kalau anak gadis pulang lewat malam…
Aku telah meminta Mr K supaya membawaku pulang ke rumah E-ling. Dia menurut sahaja tanpa banyak soal. Sebelum aku keluar dari perut kereta, dia telah memberiku tiga keping CD kumpulan Dewa yang belum tentu dapat aku dengar. Alat pemain CD aku sudah disimpan ke dalam kotak. Menurut mama, dia mungkin mahu beli yang baru mengikut nasihat Mr Andrew yang mahu segala-galanya dalam bilik aku berwarna putih.
Ibu dan bapa E-ling tidak ada di rumah. Mereka belum pulang lagi, kerena menurut E-ling, mereka selalunya akan pergi makan-makan ‘late supper’ bersama rakan-rakan mereka selepas menyaksikan persembahan konsert klasikal di Dewan Filharmonik Petronas.
“Malam ini ada dimainkan lagu-lagu Bach. Papa I selalu rasa lapar kalau dia dengar lagu-lagu Bach. Jadi I rasa dia balik lambat agaknya.” Ujar E-ling. Dia menggaru-garu tepi matanya. Kemudian dia mengajakku supaya menonton rancangan Survivor.
E-ling tekun menonton TV. Aku pula tidak dapat menumpukan perhatianku langsung kepada apa yang sedang aku tonton.
“So, how was your date?” Tanya E-ling sebaik sahaja rancangan Survivor tamat/
“What date?”
“Dengan Mr K lah!”
“It was not a date!”
“Apa-apa jelah. So how was he?”
“Okaylah. He’s a nice guy.”
“So, you dengan dia ada apa-apa tak?”
“Eh, mengarutlah you ni! I want to concentrate on my studies, okay!”
E-ling menjeling sambil mencebik.
“Guess who I saw at the concert?” tanyaku kepada E-ling.
“Siapa?”
“Si pengkit tu lah.”
“Elina?”
“And?”
“Nampak dia dengan sorang budak perempuan ni… Like, they were so close its disgusting to see them together!”
“Ye ke?” wajah E-ling jelas nampak macam dia baru sahaja melihat peserta rancangan ‘Fear Factor’ terpaksa makan lipas.
‘Lepas tu, I beritahu kat Mr. K pasal Elina, you know, pasal dia lesbian and all that—“
“Dah tu apa Mr K cakap?”
“He was annoyed.”
“Ye ke?”
“Lepas tu dia kata I ni budak-budak.”
“Well… Memang you macam budak-budakpun!” kata E-ling kemudian dia ketawa berdekah-dekah. Aku berdecit, kemudian aku berlari mengejarnya masuk ke dalam bilik tidurnya.